Saturday, May 8, 2010

Syarat-syarat bagi akad perniagaan



Bagi memastikan prinsip saling meredhai itu terlaksana, maka Syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi setiap urusan perniagaan. Syarat-syarat ini jika dilanggari akan menyebabkan suatu urusan perniagaan tidak sah atau batal. Di antara syarat-syarat tersebut ialah;
1. Orang yang menjalankan akad perniagaan hendaklah mumayyiz, iaitu mampu membuat pertimbangan sendiri.
2. Mereka melakukan akad dengan kerelaan sendiri, iaitu tidak dipaksa melakukan akad.
3. Status barang yang diperniagakan dan harganya hendaklah diketahui dengan pasti (yakni tiada kesamaran) oleh penjual dan juga pembeli. Ini untuk mengelak dari berlakunya gharar.
4. Barangan jualan diizinkan oleh Syarak (yakni tidak tersenarai dalam barang-barang yang haram)
5. Jika urus-niaga membabitkan mata-wang hendaklah mematuhi syarat-syarat pertukaran matawang mengikut Syarak.
6. Hendaklah diselaraskan kandungan ijab dan qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya. Tidak sah aqad jual-beli yang ijab dan qabulnya tidak selaras seperti penjual berkata; “Saya jual barang ini dengan harga RM 40” dan pembeli pula berkata; “Saya beli dengan harga RM 30”.

Larangan-larangan Syarak dalam perniagaan
Setiap urusan perniagaan yang hendak diiktiraf oleh Islam juga hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau diharamkan oleh Syarak. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, larangan-larangan Syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas beberapa sebab iaitu;
a) Membantu kepada perbuatan maksiat
b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan
c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan
d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad. (Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242)


Lebih terperinci, antara unsur yang dilarang oleh Syarak dalam urusan perniagaan ialah;
(1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan mudarat. Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang diharamkan oleh Syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia, maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau sebagainya.
(2) Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
(3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa yang menipu maka ia bukan daripada golonganku” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Antara contoh penipuan ialah;
( a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan keistimewaan-keistimewaan atau ciri-ciri yang sebenarnya tidak ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik perhatian orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan sebegini dinamakan at-Taghrir iaitu memperdaya.
(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran. Contohnya; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya; menyembunyikan kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan sebagainya.
(d) Mengurangi timbangan
(4) Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan kepentingan masyarakat; antaranya dengan melakukan ihtikar (monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang berdosa” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Majah dari Mu’ammar Ibn Abdillah r.a.)Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urusan perniagaan akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih dianggap sah.Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara umum termasuklah perniagaan secara MLM. Di sana ada perkara-perkara khusus yang berkait dengan MLM yang perlukan perhuraian atau garis panduan iaitu mengenai yuran keahlian, bonus dan harga barangan/produk.

Perniagaan MLM Piramid menurut Hukum Islam

Perniagaan MLM/Piramid: YANG HALAL DAN YANG HARAM

Soalan; Sekarang ini banyak jualan langsung yang menjalankan operasi di Malaysia. Apa pendirian Syarak berkenaan MLM; apa ciri-ciri MLM yang harus dan apa ciri-ciri MLM yang haram pula? di atas kita putuskan berasaskan kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh terhadap soalan mengenai yuran yang dikenakan sebagai satu syarat penting sebelum berhak menyertai jualan lelongan yang diamalkan oleh syarikat-suarikat peniagaan. Mengikut fatwa tersebut, pengenaan yuran tersebut adalah harus apabila ia memenuhi syarat-syarat di atas. (Lihat; Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1994, 2/37).

Jawapan;
Setakat sekarang ini penulis belum menemui sebarang fatwa yang jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama ada mengharuskannya atau mengharamkannya. Namun secara umumnya panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah. Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan kemukakannya secara ringkas.

Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli), kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus.

Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut;
1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli
2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual-beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya.

Saling meredhai
Saling meredhai bermaksud pembeli meredhai atau berpuas hati dengan barang atau produk yang diterimanya dan tidak rasa tertipu dan penjual juga meredhai dengan harga jualannya, yakni ia tidak menjual dengan terpaksa. Prinsip saling redha-meredhai ini amat penting dalam urusan perniagaan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu” (Surah an-Nisa’, ayat 29).

Maksud Muamalat???



Muamalat ialah perhubungan.Manakala dari segi istilah ialah urusan seharian manusia yang berkaitan dengan aspek ekonomi dan sosial.

1.Muamalat adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia termasuk aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya.

Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah s.w.t yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial.

2.Maksud muamalat dalam bidang ekonomi ialah yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Segala harta yang ada di alam ini samada di muka bumi, di laut adalah milik Allah s.w.t secara mutlak. Manusia disuruh memiliki harta yang di sediakan oleh Allah s.w.t melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang di anugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah s.w.t dan bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.

Firma Allah yang bermaksud:

Maksudnya : Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya)

(Surah Al-Mulk Ayat 15)
3. Manakala peraturan muamalat yang digariskan dalam Islam ialah:

a. Mencari harta kekayaan dengan cara yang baik dan diredhai oleh Allah s..w.t

b. Mengamalkan akhlak-akhlak yang mulia dalam menjalankan urusan ekonomi dengan pihak yang lain seperti amanah, adil, jujur, tidak menipu dan lain-lain.

c. Menjalankan sesuatu kegiatan ekonomi yang dapat memberi faedah kepada seluruh manusia.

d. Semua kegiatan yang dijalankan hendaklah berteraskan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan syariat Islam. Keimanan kepada Allah merupakan benteng untuk menghalang seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang tidak di ingini.

e. Semua kegiatan yang dijalankan bertujuan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. Kebaikan-kebaikan yang dilakukan semasa menjalankan kegiatan ekonomi secara tidak langsung akan memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan sesama Islam dan yang bukan Islam..